Monday, 4 July 2011

Selamat Tinggal Tanjong Pagar

Pelancong yang menggunakan keretapi untuk ke Singapura sebelum ini boleh berhenti di Stesen Keretapi Tanjong Pagar di Singapura. Tapi kini ia telah memberhentikan operasinya pada pukul 12 tengah malam 30 Jun 2011 yang lalu setelah memberikan khidmatnya selama 79 tahun.

Bermula 1 Julai 2011 tiada lagi operasi keretapi di Stesen Keretapi Tanjong Pagar dan akan dipindahkan ke Woodlands. Pelancong yang ingin ke Tanjong Pagar selepas ini akan mengambil masa 30 minit dengan keretapi untuk ke Tanjong Pagar. Ada kakitangan KTMB yang bertugas di situ pulang bertugas dibeberapa stesen di Malaysia tapi ada juga yang berpindah ke stesen baru di Woodlands. Pada masa hadapan pelancong dengan keretapi dari Malaysia ke Singapura hanya akan berhenti di Johor Bahru sahaja.

Stesen Keretapi Tanjong Pagar adalah sebuah stesen yang menghubungkan antara 2 negara melalui Tambak Johor iaitu Malaysia dan Singapura. Mula beroperasi pada tahun 1932 dan dirasmikan oleh Gabenor Negeri Selat pada ketika itu, Sir Cecil Clementi Smith. Keunikan Stesen Tanjong Pagar adalah ia merupakan hentian terakhir jaringan pengangkutan keretapi di hujung benua Asia.

Pada 24 Mei tahun lalu, Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengumumkan stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke Woodlands pada 1 Julai 2011.

Pelancong dan orang-ramai yang pergi ke Bangunan Stesen Tanjong Pagar yang dikelilingi oleh bangunan pencakar langit bersenibina moden tetap dapat menyaksikan identiti Tanah Melayu dengan adanya mural yang terdapat pada kedua-dua dinding yang tinggi di kawasan menunggu menggambarkan kegiatan ekonomi di Tanah Melayu pada masa itu.

Aktiviti kegiatan ekonomi yang ada di dinding tersebut seperti aktiviti melombong timah, sawah padi, tanaman getah dan tongkang China yang sedang berlabuh akan mengingatkan pelancong yang melawat Singapura bahawa Singapura pada suatu masa dahulu adalah sebahagian dari Malaysia (Tanah Melayu) . Stesen yang bersejarah dan nostalgik ini kerap menjadi sesuatu yang mengganggu keakraban dan persahabatan 2 negara berjiran, Malaysia dan Singapura.

Diharap dengan terhentinya operasi di Stesen Tanjong Pagar ini tidak pula menghapuskan Bangunan Stesen Tanjong Pagar yang pernah menjadi hak milik Malaysia di bumi Singapura yang dulunya dikenali sebagai Temasik pada minda pedagang dan pelancong masa silam.

FACEBOOK
Become a Fan

No comments:

Post a Comment