Monday, 31 October 2011

Hari Terakhir Bas Stand Klang pada 31 Oktober 2011

















Gaya hidup sekarang memang tidak sama dengan 10 atau 20 tahun yang lepas. Inilah yang menyebabkan bangunan lama terpaksa dilupuskan untuk memberi jalan kepada yang lebih canggih dan bersesuaian dengan zaman.

Bangunan Pasarama Kota atau lebih di kenali sebagai Bas Stand Klang (berdekatan Stesen LRT Pasar Seni) beroperasi untuk hari terakhir pada hari ini 31 Oktober 2011. Berakhirlah gaya hidup menaiki bas dari sini. Besok

Besok tiada lagi bas yang akan berhenti dan menunggu di stesen ini. Pada 1 November 2011 ia akan ditutup terus untuk memberi laluan kepada projek MRT (MY Rapid Transit) yang akan dibina di situ.

Tatapilah gambar-gambar hari-hari terakhir Bas Stand Klang yang penuh bersejarah yang menjadi sejarah gaya hidup yang lepas.




Saturday, 29 October 2011

The Didjeridu, The Bullroarer And The Gumleaf, Alat Muzik Kaum Asli Australia

Muzik adalah salah satu gaya hidup yang di gemari ramai. Di Australia terdapat 3 jenis muzik tradisional kaum asli iaitu The Didjeridu, The Bullroarer And The Gumleaf. Menarik kan?

Petang tadi masa berjalan menuju ke Stesen LRT Pasar Seni saya terserempak dengan seorang lelaki, kelihatan seperti Cina atau Melayu, kurang pasti.

Dia duduk berhampiran kawasan yang dipagar berhampiran stesen lrt tersebut dan terus bermain sejenis alat muzik (Didjeridu), setelah meletakkan begnya (Lihat gambar yang di sebelah). Hmm... nampak menarik dan bunyinya, wow! sungguh unik!

Saya berjalan ke arahnya dan berdiri mendengar muzik yang dimainkan. Ada orang meletakkan 1 helai duit kertas RM1, dia berhenti bermain dan berterima kasih pada orang tersebut. Hmm... sungguh bersopan-santun pemuzik ini. Gaya hidup yang patut di teladani.

Setelah beberapa ketika bermain muzik dia berihat seketika. Saya bertanya, alat muzik tu dari mana? Dia kata dari Australia dan dia orang Jepun dari Negara Jepun.

Ramai orang Malaysia suka muzik, tapi ada ke yang menjadikan muzik orang asli sebagai gaya hidup?

Friday, 28 October 2011

Air Kita

Pada setiap hari kira-kira 10,000 tan sampah-sarap dibuang di Malaysia dan 10% darinya dibuang ke dalam perairan kita. Sampah dan bahan-buangan yang dibuang ke jalanan, longkang, parit dan lain-lain saluran air.

Ini termasuklah pencemaran dari air yang belum dan telah dirawat dari kilang-kilang, saluran kumbahan, bahan buangan organik dari outlet perniagaan, minyak dan gris dari rumah.

Orang-ramai masih lagi membuang sampah sesuka hati walaupun telah diadakan kempen kesedaran dan pemulihan sungai yang diadakan. Kualiti air semakin menurun dan ini akan mengancam hidupan yang ada.

Kesemua sampah dan bahan tercemar ini akan berakhir di lautan dan mengancam hidupan laut bahkan manusia sendiri. Demi kebaikan segala hidupan yang ada termasuklah manusia buanglah sampah dan lain-lain bahan buangan dengan cara yang sepatutnya, jagalah kualiti air.

Thursday, 27 October 2011

Penunggang Unta dan Unta di Australia

Gaya hidup di kawasan gurun mungkin tidak maju seperti sekarang jika tidak kerana adanya unta di situ. Tentu anda tahu memang ada unta di Ausralia kan?

Tapi tahukah anda unta-unta tersebut bukan berasal dari Australia sendiri, malah ia dibawa masuk pada tahun 1860an dari Afghanistan, Pakistan & India. Kira-kira 2,000 - 3,000 orang penunggang unta dibawa masuk ke Australia untuk mengendalikan unta-unta ini.

Gaya hidup di gurun yang ekstrim, tandus dan kurang air memaksa pelombong British pada masa tersebut membawa masuk unta dan penunggang-penunggang unta berugama Islam yang mahir dan tahu selok-belok gurun dari negara-negara tersebut untuk urusan melombong emas dan batu-batu permata yang berharga dari gurun Australia.

Unta-unta yang dibawa masuk ini tidak berguna jika tiada penunggang yang mahir dan berkebolehan untuk mengendalikannya. Bandar-bandar seperti Kalgoolie dan Broken Hill adalah bandar perlombongan yang maju. Kegigihan dan keupayaaan penunggang-penunggang unta ini juga menyebabkan Ayers Rock ditemui dan wujud hingga sekarang.

Isteri penunggang-penunggang unta Islam ini tidak datang bersama (hanya beberapa orang perempuan saja yang ikut) kerana tindakan ini tidak boleh diterima oleh kebudayaan dan gaya hidup mereka pada masa tersebut.

Menjelang tahun 1920an gaya hidup telah berubah, unta tidak diperlukan lagi kerana telah diganti oleh motosikal, kereta dan trak. Unta dilepaskan di gurun Australia dan keturunan unta inilah yang menjadi kira-kira lebih sejuta unta liar dan mendiami gurun Australia sekarang.

Manakala bekas penunggang-penunggang unta yang tidak lagi bekerja sebagai penunggang unta pulang ke negara masing-masing.

Sebahagian lagi terus menetap di Australia dan membuka perniagaan trading, perniagaan pengangkutan unta, perniagaan ubat-ubatan tradisional dan sebagainya. Mereka berkahwin dengan kaum asli Australia dan wanita berkulit putih. Keturunan mereka masih lagi tinggal di Australia hingga sekarang.

Pada tahun 2006 pamiran pertama tentang penunggang unta Islam ini telah diadakan di Australia. Keturunan mereka telah menyumbangkan banyak artifek yang menarik pada pamiran yang berikutnya.

Kita di Malaysia bertuah kerana pamiran penunggang unta ini telah dibawa ke Kuala Lumpur. Kunjungi Muzium Kesenian Islam Malaysia, Jalan Lembah Perdana, Kuala Lumpur dibuka dari 10.00pagi - 6.00petang setiap hari. Untuk keterangan lanjut lawati www.iamm.org.my

Sekarang ini keturunan penunggang-penunggang unta Islam ini masih lagi mengamalkan gaya hidup Islam.

Wednesday, 26 October 2011

Kurangkan Penggunaan Plastik & Jangan Buang Merata-rata

Plastik yang kita gunakan boleh tahan selama-lamanya dan ada antara kita hanya menggunakannya sekali sahaja sebelum dibuang. Kita telah mencipta sampah untuk selama-lamanya, jadi tidak menghairankan pencemaran plastik semakin meningkat dengan pesat... dengan akibat yang tidak diingini.

Orang ramai seolah-olah sudah tidak peduli apa yang berlaku kepada bumi dan lautan bila mereka membuang beg plastik ke atas jalan.

Mereka jangka ia akan pergi ke tempat di mana mereka tidak perlu bimbang mengenainya, tetapi mereka salah! Setelah dibuang di jalan, ia merosakkan alam sekitar dan membunuh tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Plastik akan berakhir dalam air. Hidupan dalam air menelan mereka secara tidak sengaja apabila memakan sekumpulan ikan atau udang. Ikan paus tidak boleh melihat dengan baik, dan beg plastik yang terapung akan kelihatan seperti obor-obor. Plastik juga boleh terkumpul di suatu bahagian laut akibat arus lautan (gyres) mengumpulkan sampah plastik itu.

Jika terpaksa juga, gunakanlah beg plastik terbiodegradasi (biodegradable) dan gunakan semula sebelum dikitar semula (recycle). Elakkan dari menggunakan plastik.

Tuesday, 25 October 2011

Pusat Perlindungan Warga Emas JKM

Pusat Perlindungan Warga Emas JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) terdapat di seluruh negara.

Terdapat 2 jenis iaitu Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE).

Pusat Perlindungan Warga Emas (JKM) yang terdapat di Malaysia ialah di:

Rumah Seri Kenangan (RSK)
  1. RSK Bedong
  2. RSK Cheng
  3. RSK Cheras
  4. RSK Pengkalan Chepa
  5. RSK Johor Bahru
  6. RSK Kangar
  7. RSK Seremban
  8. RSK Taiping
  9. RSK Tanjung Rambutan
Rumah Ehsan (RE)
  1. RE Kuala Kubu Bharu
  2. RE Dungun
Dengan adanya senarai ini bolehlah kita melawat dan jika boleh memberi apa-apa sumbangan yang boleh kepada Pusat Perlindungan Warga Emas yang berdekatan dengan kita.

Jika tak mampu beri sumbangan kebendaan, lawatan kita pun boleh menceriakan mereka walaupun mereka lebih suka jika ahli keluarga mereka sendiri yang membuat lawatan ke Pusat Perlindungan Warga Emas.

Monday, 24 October 2011

Rumah Seri Kenangan Cheras

Rumah Seri Kenangan Cheras ialah sebuah rumah perlindungan untuk orang-orang tua (warga emas) yang terletak di KM 18, Jalan Cheras, 43000 Kajang, Selangor.

Terdapat Rumah Seri Kenangan (RSK) dan Rumah Ehsan (RE) untuk golongan warga emas yang teraniaya dan terabai akibat perebutan harta pusakan dan sebagainya atau yang telah disingkirkan oleh keluarga sendiri.

Rumah Seri Kenangan Cheras dan lain-lain RSK dan RE sedia memberikan segala bantuan yang termampu kepada golongan yang tidak berupaya ini.

Untuk mengelakkan perebutan harta, salah satu caranya ialah dengan membuat surat wasiat. Ini akan dapat dijadikan pembelaan untuk diri warga emas jika terjadi sesuatu sehingga mereka dianiaya oleh keluarga sendiri atau untuk mengelak perebutan harta oleh saudara-mara jika mereka meninggal dunia.

Keterangan lanjut boleh didapati di http://jkmselangor.gov.my. Jika ada sebarang sumbangan untuk golongan ini bolehlah ke Rumah Seri Kenangan Cheras atau RSK & RE yang berdekatan.