Monday, 3 July 2017

Hidup Jangan Bersedih

MENGAPA PERLU BERSEDIH?

1-KESEDIHAN TIADA GUNANYA
Kata Ibn Al-Qayyim: "Al-Quran tidak menyebut tentang kesedihan kecuali untuk menegahnya ("Jangan berasa hina dan jangan bersedih"-Surah Ali Imran:39) atau menafikannya ("......Tidak ada kebimbangan kepada mereka dan tidak pula mereka bersedih"- Surah Al-Baqarah:38)

Mengapa Al-Quran berpendirian begitu?
Kerana tidak ada faedah menyimpan kesedihan di dalam hati nurani. Bahkan syaitan amat menyukai seorang hamba yang beriman berada dalam kesedihan dan cuba untuk menariknya keluar dari landasan yang benar. Oleh sebab itu juga Rasulullah sollallahu alaihi wasallam memohon perlindungan kepada Allah dari kesedihan.

2-KESEDIHAN MELEMAHKAN JIWA
Kata Ibn Al-Qayyim lagi:
"Kesedihan melemahkan hati nurani dan menghancurkan keazaman dan kehendak".

3-KESEDIHAN BERSAMA SYAITAN
Apabila seorang hamba yang beriman bersedih, pasti ia amat disukai oleh syaitan. Oleh itu bergembira, bersikap optimis dan bersangka baiklah kepada Allah. Yakinlah dengan kuasa Allah dan bertawakkallah kepadaNya. Pasti kita akan memperolehi kebahagiaan dan reda dalam segala keadaan.

4-KESEDIHAN MENGHANCURKAN JIWA
Bicara Ibn Al-Qayyim:
* "Jangan hancurkan kegembiraan kamu dengan kebimbangan.
* Usah hancurkan akal kamu dengan bersikap pesimis.
* Jangan hancurkan kejayaan kamu dengan penipuan.
* Usah hancurkan hari kamu dengan meratapi hari semalam".

5-KITA SEBENARNYA BOLEH SAHAJA BERGEMBIRA
Jika fikirkan tentang keadaan kita, pasti kita akan mendapati Allah memberikan banyak benda dan perkara yang tidak dipohon dariNya. Yakinlah dengan Allah kerana Dia tidak menghalang hajat yang kita ingini kecuali ia adalah untuk kebaikan diri sendiri.

6-BERTERUSANLAH MELAKUKAN KEBAIKAN WALAUPUN IA KECIL
Kemungkinan ketika tidur, pintu syurga dibuka untuk kita kerana doa orang lain. Kemungkinan ia datang dari:
* Seorang miskin yang kita bantunya pada masa lalu.
* Seorang yang sedih, lalu kita gembirakannya.
* Seorang yang melintasi, lalu kita senyum kepadanya.
* Seseorang yang tertekan, lalu kita bantu menghilangkan tekanannya.
Oleh itu, usah pandang remeh setiap kebaikan yang kita lakukan.

7-BERGEMBIRALAH
Berkata seorang salaf:
"Aku berdoa kepada Allah untuk hajat yang aku inginkan. Jika Dia kurniakan kepadaku, aku gembira hanya sekali. Namun jika Dia tidak mengurniakannya, aku gembira berkali-kali. Ini kerana keputusan yang pertama adalah pilihanku, manakala keputusan yang kedua adalah pilihan Allah".

8-KEHIDUPAN HANYA SINGKAT
Berkata Ibn Sa'di:
"Kehidupan ini adalah singkat. Oleh itu jangan singkatkannya dengan kebimbangan, kemurungan dan kesedihan. Jadilah pemilik hati yang bernafas dengan nafas kebahagiaan dan reda. Semoga Allah penuhi masa kita dengan kebahagiaan dan mengampunkan segala dosa".

Diterjemahkan dan diolah daripada laman tijemusliman.com

No comments:

Post a Comment