Tuesday 6 September 2016

Kebaikan Minum Kppi

FAEDAH MINUM KOPI
Dr Zubaidi Hj Ahmad

Bahan kafein dalam kopi berfungsi untuk menghalang kesan pencetus saraf adenosine (neurotransmitter) yang boleh menyebabkan keletihan serta mengantuk. Biasanya paras adenosine akan meningkat menjelang waktu petang dan akan membuatkan seseorang itu berasa letih dan mengantuk terutama menjelang malam.

Kafein juga membantu merangsang otak untuk kekal aktif dan mengurangkan rasa letih. Kafein juga meningkatkan paras pencetus saraf seperti dopamin dan norepinefrin. Kafein begitu cepat meresap ke dalam darah dan berdasarkan kajian secawan kopi akan memberikan kesan seawal 20 minit selepas diminum sehingga sejam untuk kesan maksimum kepada otak kita.

Kajian terkini menunjukkan minum kopi yang mengandungi kafein mempunyai faedah kesihatan jika diambil dalam dos yang sederhana. Syaratnya kopi yang diambil itu tidak mengandungi gula yang berlebihan dan juga tidak diambil bersama krimer.

Dalam pada itu, laporan yang diterbitkan dalam International Journal of Cardiology pada November 2009 berhubung 21 kajian kohort tentang kopi sejak tahun 1966 sehingga 2008 telah membuat kesimpulan bahawa minum kopi boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kajian lain juga menunjukkan kopi mampu memberikan kesan positif terhadap kawalan tekanan dengan bertindak menghalang reseptor adenosine A2A yang mengawal kadar tekanan. Kajian juga menunjukkan kafein meningkatkan metabolisme tubuh sehingga 11 peratus dan membantu membakar lemak sehingga 13 peratus.

Terdapat pelbagai kajian lain yang menunjukkan kopi membantu melindungi kerosakan hati sehingga 84 peratus. Kajian turut menunjukkan kopi juga membantu memanjangkan jangka hayat dengan mengurangkan risiko kematian pramatang akibat penyakit kronik sehingga 30 peratus terutama dalam kalangan wanita dan pesakit diabetes.

Kajian juga menunjukkan kopi mengurangkan risiko kanser hati sehingga 64 peratus, kanser kolorektal sehingga 38 peratus dan kanser kulit sehingga 20 peratus. Kajian yang menarik juga menunjukkan kopi mengurangkan risiko gout sehingga 40 peratus kepada lelaki dan 57 peratus kepada wanita.

No comments:

Post a Comment