Thursday, 8 September 2016

Jaga Malaysia Baik-baik

Jaga Malaysia Baik-Baik
http://malaysiagazette.com/ms/jejak-nama/jaga-malaysia-baik-baik-pesan-siti-rahmah

Ketika penulis tiba di sebuah kediaman terletak di Jalan SS3, Kelana Jaya pada petang Sabtu lalu, wanita yang ingin ditemui masih tidur.

Hampir 20 minit berbual di ruang tamu bersama anak wanita itu, kami didatangi oleh seorang gadis yang menolak seorang wanita bertudung hitam di atas kerusi roda.

Lama penulis tatap wajah itu. Jika bukan kehadiran penulis untuk menziarahi pejuang kemerdekaan negara ini, memang sukar mengenalinya.

Raut wajah wanita yang sudah menginjak usia 90 tahun itu kelihatan cukup uzur. Beza benar ketika pertemuan terakhir penulis dengan beliau kira-kira 10 tahun lalu di Perkim, Seremban.

Beliau ialah Datuk Siti Rahmah Abu Kassim.

Wanita yang pernah suatu ketika dahulu lantang membangkitkan semangat nasionalisme dan patriotisme kini semakin kurang pendengaran dan penglihatan.

Namun, bibirnya tidak pernah berhenti berzikir.

Fizikalnya kurus dan kedut-kedut tua ketara diwajahnya. Ketika salam dihulurkan, Siti Rahmah diam sahaja.

Namun apabila rakan penulis yang disapa dengan panggilan kak Juriyati berbisik pada telinga, memberitahu kedatangan kami, beliau mula mula bersuara.

Dan, suaranya itu tidak berubah - masih utuh dengan loghat Negeri Sembilan dan nyaring, cuma butir-butir perkataan agak sukar difahami.

Anak perempuannya, Prof. Puan Sri Dr. Rohaty Mohd Majzub yang menjaga Siti Rahmah sejak setahun lalu berkata, fizikal emaknya semakin susut sejak enam bulan lalu kerana beliau tidak lagi makan dan kini sekadar minum susu sahaja.

Malah, tidur malamnya juga tidak lena. Wanita tua ini akan bangun mulai pukul 11.30 malam dan berjaga sehingga pagi. Beliau tidur-tidur ayam pada waktu siang.

MalaysiaGazette dimaklumkan sepanjang malam ketika berjaga, Siti Rahmah tidak penat bercerita kisah dan pengalaman lampaunya bersama-sama menentang penjajah British kepada penjaganya.

Apabila penat bercerita, beliau akan tidur. Begitulah rutinnya harian wanita yang penuh dengan semangat patriotisme dan nasionalisme.

Siti Rahmah dilahirkan pada 30 November 1930, di Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan adalah seorang pejuang kemerdekaan.

Beliau adalah wanita yang membangkitkan semangat juang dalam menentang penjajah dalam kalangan wanita di Tanah Melayu suatu ketika dahulu.

Siti Rahmah juga dikenali sebagai "Tokoh Gelang Kemerdekaan" kerana menjadi individu pertama menyerahkan gelang emas (hadiah pernikahan daripada ayahnya) kepada Tunku Abdul Rahman untuk biaya perjalanan ke London.

Ketika itu Tunku Abdul Rahman merupakan Presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar) sedang berucap di Dewan Hang Tuah, Bandar Hilir , Melaka. Rombongan ke London itu bagi melakukan rundingan untuk mencapai kemerdekaan.

Tindakan Siti Rahmah itu menyebabkan beliau dirotan ibunya sehingga badan beliau berbirat. Walaupun terpaksa menahan kesakitan, beliau sedikit pun tidak menyesal, apatah lagi menitiskan air mata. Baginya gelang emas masih boleh diganti dan bukan semangat perjuangan.

Penulis beberapa kali berbisik ke telinganya untuk memaklumkan tidak lama lagi Malaysia akan menyambut kemerdekaan negara. Srikandi UMNO ini mengangguk perlahan, lantas menegakkan tubuhnya yang disandar pada sebuah bantal empat segi di kerusi roda itu.

Dengan suara yang sederhana tetapi cukup bersemangat, Siti Rahmah berkata: "Saya harap Malaysia akan terus berjaya dan golongan wanita terus diberi peluang untuk memikul tanggungjawab (terhadap negara) bersama.

"Wanita adalah tiang negara, bukan tiang dapur," katanya dengan penuh bersemangat sambil menggerakkan tangannya dan membaca petikan daripada ayat An-Nisa.

Dalam keadaan yang cukup uzur itu, Siti Rahmah dengan perlahan berkata: "Uwan (nenek) akan bersama-sama menyambut Hari Kemerdekaan nanti".

MalaysiaGazette difahamkan Siti Rahmah tidak pernah gagal menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan negara setiap tahun.

Dengan suara yang tersekat-sekat Siti Rahman bercerita, beliau mula berjuang dengan untuk mencapai kemerdekaan sejak usia 17 tahun dan kecintaannya terhadap negara tidak pernah luntur.

"Saya sangat sayangkan negara ini, sayang uwan sedikit pun tidak pernah berubah, melebihi sayang nyawa uwan sendiri.

"Saya sayangkan UMNO sepenuh hati dan jiwa raga saya, sebab itu uwan sentiasa memberikan kerjasama kepada UMNO dan kerajaan atas rasa tanggungjawab," ujarnya.

Ketika menolak kerusi roda sehingga di hadapan bilik tidurnya, Siti Rahmah yang kelihatan mengantuk kerana banyak bercakap tiba-tiba bersuara lagi.

"Kemerdekaan yang dikecapi Malaysia sekarang ini adalah hasil perjuangan daripada keringat dan air mata yang tidak terhitung.

"Kalau uwan sudah tidak ada lagi, jagalah Malaysia ini baik-baik. Pelihara kemerdekaan.

"Kepada Perdana Menteri dan pemimpin teruslah memelihara UMNO dan jangan sesekali sedih jika menghadapi masalah kerana mempertahankan parti dan negara adalah satu kewajipan," ujarnya sebelum melepaskan tangan penulis. - MalaysiaGazette..

No comments:

Post a Comment